Berkata Baik Berserta Niat Ikhlas Memurnikan Sedekah
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 263)
Allah SWT menegaskan, memenuhi syarat bagi memurnikan infak itu tidak semudah yang dikata. Ia memerlukan kesungguhan bagi menundukkan nafsu jahat dan pengaruh syaitan yang sentiasa membisik kejahatan kepada manusia.
Hakikatnya, sedekah diikuti dengan sesuatu yang menyakitkan hati tidak diperlukan. Malah, tutur kata manis ada kala boleh mengubati hati yang luka, air muka mencerminkan kemaafan lebih mesra dan mampu menggantikan fungsi sedekah yang sarat dengan kata-kata cemuhan serta nista.
Ini disebabkan, walaupun orang yang meminta kecewa kerana permintaannya ditolak tetapi pada hakikatnya orang yang diminta pertolongan itu sebenarnya telah menggembirakan hatinya, bahkan dia tidak berasa malu kerana terpaksa meminta.
Dorong sikap suka menderma
Oleh itu, kewajipan menolong dan membantu berlaku, walaupun hanya dengan kata-kata baik yang dapat membangkitkan semangat serta mendorong mereka supaya lebih tekun untuk meraih kejayaan, selain menaikkan semangat orang ramai menderma dengan lebih banyak lagi.
Maksud perkataan yang baik di sini meliputi tutur kata yang manis didengar dan menghiburkan, ucapan takziah serta nasihat berguna.
Sementara itu, sedekah yang tidak baik daripada sikap menyakitkan perasaan akan mendatangkan kesan tidak baik. Orang yang menyakitkan perasaan bererti telah mencipta suatu kebencian pada diri orang lain terhadap mereka, padahal persaudaraan serta saling melindungi adalah lebih baik daripada permusuhan.
Kebaikan sosial berlaku apabila seluruh masyarakat saling bersedia untuk tolong-menolong seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari)
Sesungguhnya kebaikan sama sekali tidak boleh menjadi alat kepada kejahatan. Usaha yang baik wajib dijauhkan daripada akibat merugikan serta menghilangkan seluruh atau sebahagian kegunaannya.
Barang siapa yang tidak dapat melaksanakan salah satu daripada pelbagai macam kebaikan, ia tetap wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu usaha baik orang lain sehingga mencapai tujuannya.
Barang siapa yang tidak sanggup memberikan derma kerana tidak berupaya tetapi tidak mahu mengungkit-ungkit dan menyakiti perasaan orang yang datang meminta kepadanya, hendaklah dia menolaknya dengan kata-kata yang baik dan menggembirakan hati orang meminta.
Ayat itu diakhiri dengan menyebut dua nama Allah SWT yang indah, iaitu Maha Kaya dan Maha Penyabar. Dua sifat Allah SWT ini mengisyaratkan manusia selalunya zalim apabila beroleh kedudukan yang tinggi dan memiliki kekayaan.
Bagai kacang lupakan kulit
Mereka bagai kacang lupakan kulit, dia lupa orang lain yang pernah membantunya dahulu, ada kala dia berlaku zalim dan bertindak kasar terhadap mereka. Al-Quran mengingatkan bahawa Allah SWT yang sebenarnya kaya dan tidak berhajat kepada sesiapa.
Orang yang berada sepatutnya bersikap lebih banyak bersabar dan lemah lembut jika berhadapan dengan sesetengah manusia yang bersikap kurang sopan terhadapnya.
Ayat ini mengisyaratkan bahawa Allah SWT tidak berkehendak kepada infak dan sedekah orang yang mencari nama atau maruah dengan kata-kata cela serta caci. Jika ingin bersedekah, lakukanlah sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Allah Maha Penyabar, Dia tidak bertindak segera terhadap manusia dengan menimpakan mereka azab sengsara tetapi memberi tempoh kepada mereka supaya bertaubat.
Allah SWT tidak memerlukan sedekah dan sumbangan diiringi dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti perasaan kerana Allah SWT hanya mahu menerima perkara yang baik sahaja. Dia Allah Maha Sabar kerana itu Dia tidak cepat menghukum orang yang menderma tetapi diiringi sifat menyakiti hati.
Ayat ini menjadi hiburan dan penguat semangat kepada orang fakir, sekali gus menanamkan perasaan berharap kepada Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Penyabar, tetapi pada masa sama menjadi ancaman kepada orang kaya supaya tidak mempersendakan sifat Allah Yang Maha Penyabar.
Allah SWT tidak menyegerakan hukuman ke atas mereka lantaran kekufuran yang dilakukan terhadap nikmat-Nya tetapi perlu diingat, Allah SWT yang memberikan harta dan Dia juga boleh menarik kembali harta itu daripada mereka bila-bila masa sahaja.
* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Sumber: Berita Harian