Afdal Sembunyi Sedekah Zahir Pemberian Zakat
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Banyak tempat di dalam al-Quran yang memberi bimbingan dan arahan jelas mengenai infak serta pelbagai cara galakan atau ancaman mengenainya supaya kita dapat memahami dua perkara penting. Pertama, memahami betapa jauhnya pandangan Islam terhadap perlunya tabiat manusia digerak dan dirangsangkan secara berterusan supaya dapat mengatasi perasaan tamak.
Bersedekah secara ikhlas
Kedua, memahami tabiat manusia yang wujud dalam masyarakat Arab yang dikenali umum sebagai bersifat pemurah dan dermawan. Oleh itu, bukanlah menjadi satu perkara mudah kepada Islam untuk mengajar mereka bersedekah semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana manusia.
Sudah tentu perkara seperti itu memerlukan kepada didikan dan asuhan berterusan ke arah keluhuran, keikhlasan dan kebersihan jiwa.
Zakat dan infak hendaklah dikeluarkan dengan niat ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jika begitu keadaannya, apa perlunya manusia menghabiskan usaha menzahirkan pemberian kepada orang ramai sedangkan mereka tidak mampu memberi apa-apa kepada pemberinya.
Sheikh Al-Maraghy ketika memberi komentar mana satukah antara kedua-duanya yang lebih baik, sama ada bersedekah secara diam atau terang-terangan, katanya cara terbuka boleh menjadi teladan kepada yang lain untuk menirunya.
Bersedekah secara senyap
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Umamah, bahawa Abu Zar bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai, Rasulullah! Apakah sedekah yang paling baik? Baginda menjawab: Sedekah kepada orang fakir secara senyap-senyap atau derma daripada orang yang serba kekurangan. Kemudian baginda membacakan ayat ini.”
Imam Bukhari meriwayatkan, antara tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT yang pada waktu itu tidak ada naungan selain naungan Allah SWT ialah: “Seseorang yang memberikan sesuatu derma secara diam-diam, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang didermakan oleh tangan kanannya.”
Infak secara terbuka tiada salahnya, lebih-lebih lagi infak wajib. Bahkan dalam sesetengah keadaan pemberian secara terbuka lebih merangsang pihak lain untuk turut bersedekah selain boleh mengelak tuduhan orang terhadapnya sebagai bakhil dan berat tangan untuk bersedekah.
Sesetengah mufassirin berpendapat, sedekah sunat lebih afdal disembunyikan pemberiannya manakala zakat wajib lebih afdal dizahirkan. Bagi mereka, sedekah secara sembunyi itu lebih afdal kerana terpelihara maruah penerima miskin yang malu dengan kemiskinannya serta orang yang bersedekah terhindar daripada sifat bangga diri.
Ibnu Kathir berpendapat, bersedekah secara sembunyi lebih afdal. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Antara tujuh golongan yang diberi naungan pada hari akhirat ialah orang yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu disembunyikannya sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanan.”
Boleh beri kepada bukan Islam
Perkataan Al-Fuqara dapat difahamkan bahawa derma yang sunat boleh diberikan kepada orang Islam atau orang bukan Islam, orang baik mahupun orang derhaka kerana Allah SWT telah meluaskan rahmat dan kebaikan-Nya dalam segala perkara.
Amalan sedekah menghapuskan sebahagian dosa, manakala sebahagian lagi dihapuskan melalui taubat nasuha yang cukup syaratnya seperti dosa dengan manusia yang perlu diselesaikan melalui saling memaafkan.
Diriwayatkan oleh Muaz, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Aku ingin beritahu kepadamu pintu kebajikan: Puasa itu perisai, sedekah itu menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat Ahmad)
Sedekah yang diberi oleh seorang Muslim dan lengkap syaratnya ada harapan untuk diterima Allah SWT, sama ada dikeluarkan secara sembunyi atau terbuka. Namun pahalanya berbeza antara sedekah yang diberi secara terbuka dengan yang diberi secara sembunyi.
Difahamkan daripada kata penutup, Allah SWT mengetahui niat seseorang yang menginfakkan hartanya. Berdasarkan kebenaran niat yang diketahui Allah SWT, maka kesan sedekah diperolehnya tanpa dikurangi walaupun sedikit.
Sumber: Berita Harian