Pelaburan Dunia Usah Sampai Lupa Akhirat

Kebanyakan orang sedar pentingnya pelaburan. Pelaburan dalam pelbagai bentuk seperti saham, hartanah atau wang ringgit sejak muda adalah impian setiap orang agar kehidupan hari tua agak senang dan kukuh dari aspek kewangan.

Tidak hairan jika kini orang berlumba-lumba menambah pelbagai bentuk harta khususnya hartanah dan saham sebagai cagaran untuk masa depan.

Secara umum, teori pengumpulan harta dan pelaburan jangka panjang dalam pelbagai bentuk itu memang akan memberi keuntungan lumayan, tetapi apakah ia benar-benar memberikan kita pulangan keuntungan kehidupan di dunia atau terdapat pelaburan bentuk lain yang mampu memberi kebaikan dan keuntungan di dunia serta akhirat?

Tokoh ulama Nusantara, Hamka dalam bukunya, Falsafah Hidup menulis: “Dapat menikmati makan dua kali sehari, pakaian yang mencukupi, mempunyai rumah yang selesa untuk tinggal bersama keluarga, dapat menghidu udara segar dan bergerak, sebenarnya sudah cukup untuk kita hidup di dunia ini, tetapi nafsu meminta lebih daripada itu, sehingga kerap kali manusia lupa tentang kesederhanaan”.

Dalam keghairahan kita memburu pelbagai bentuk harta di dunia, satu aspek yang perlu kita sedari ialah setiap harta yang diperoleh dan dibelanjakan bakal di soal oleh Allah SWT di akhirat kelak. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga Allah akan menanyakan tentang empat perkara, pertama, tentang umurnya dihabiskan untuk apa. Kedua, tentang ilmunya diamalkan atau tidak. Ketiga, hartanya dari mana dia peroleh dan ke mana dibelanjakan. Keempat, mengenai tubuhnya badannya, untuk apa digunakan.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Harta adalah amanah Allah

Hadis ini bermaksud, jika kita ada harta, jangan kita rasa semuanya hak kita kerana Allah SWT sudah memberi amanah kepada kita dalam bentuk harta dan kekayaan. Oleh itu, jangan kita terlalu leka dengan kekayaan sehingga lupa membelanjakan harta untuk bekalan hari akhirat dan berasa kesal apabila disoal Munkar dan Nakir di alam kubur kelak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Munafikun ayat 10, bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh“.

Amat rugi individu yang dianugerahi Allah SWT banyak harta dalam pelbagai bentuk, tetapi lupa pelaburan untuk akhirat yang sudah ditetapkan Allah SWT dan Rasul-Nya. Pada umumnya ada dua cara pelaksanaan pelaburan untuk kesenangan dunia dan akhirat.

Pertama, amal jariah. Pelaksanaan amal jariah dapat dilakukan dengan membelanjakan harta untuk kepentingan umat Islam. Umpamanya pembinaan masjid, pengurusan sekolah, anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal atau pelbagai aktiviti yang baik demi manfaat atau membantu orang lain. Hadis Nabi yang bermaksud: “Ada tujuh hal yang pahalanya tetap mengalir bagi seorang hamba padahal dia sudah terbaring dalam kuburnya setelah meninggal (iaitu); orang yang mengajarkan suatu ilmu, mengalirkan sungai, menggali kolam, menanamkan kurma, membina masjid, mewariskan mashaf atau meninggalkan anak yang memohon ampun buatnya selepas dia meninggal.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Kedua, wakaf. Amalan wakaf adalah penjanaan kewangan berdimensi tinggi berteraskan kesedaran spiritual dan menjanjikan keuntungan berpanjangan serta berkekalan. Harta wakaf atau wang tunai yang diwakafkan tidak boleh berpindah milik dan kekal kerana manfaat harta wakaf akan dijanakan serta jika ditukar ia perlu diganti semula. Banyak negara Islam mengamalkan institusi wakaf dan manfaatnya banyak sekali. Selain itu, jika diurus secara profesional dan amanah, harta wakaf akan bertambah dan manfaatnya dapat dikembangkan serta pahala orang berwakaf akan berterusan.

Orang berwakaf (wakif) juga sentiasa mendapat doa dan penghargaan daripada pihak yang menerima manfaat wakaf selain meninggalkan nama baik walaupun sudah meninggal dunia.

Pahala wakaf berterusan

Secara tegasnya, amalan wakaf berupa pelaburan yang dilakukan sekali tetapi keuntungan pahala berterusan sehingga ke akhirat. Ramai individu berharta dan berjiwa Muslim sejati perlu merebut pelaburan yang amat bernilai ini dan jangan meninggalkan amalan berwakaf. Ternyata institusi wakaf belum dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia.

Gerakan wakaf mula digembleng pihak berwajib dan ia perlu terus disemarakkan lagi dalam pelbagai bidang dan dimensi agar umat mendapat manfaat besar serta orang berwakaf juga memperoleh ganjaran pahala berterusan.

Cabaran terbesar umat Islam ialah membina sumber tenaga manusia atau modal insan unggul dari aspek spiritual dan akhlak, sekali gus membelanjakan harta dimiliki dengan membuat pelaburan yang dapat memberi keuntungan dunia dan akhirat serta mampu membantu pihak berwajib membina generasi berintelek serta berakhlak mulia melalui pembinaan sekolah, pusat sumber, masjid, perpustakaan atau apa sahaja yang natijahnya mendatangkan kemuliaan yang tiada hentinya daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.

  • Penulis ialah Pensyarah Kanan di JabatanKenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Sumber: Berita Harian

Similar Posts

  • Bersedekah Untuk Orang Yang Telah Meninggal

    Soalan: Bolehkah kita mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia? Jawapan: Shikh al-Sha’rawi berpendapat, perbuatan mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia tidak dibenarkan kerana mereka yang telah meninggal dunia tidak akan mendapat manfaat daripada perbuatan itu apatah lagi ia dilakukan oleh orang lain. Sedekah perlu dilakukan ketika hidup bukannya setelah kematian. Ini…

  • Sedekah Murahkan Rezeki, Hindar Bala

    Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Namun, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu akan meyakini ia amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan. Pada umumnya, bersedekah ialah amalan sunat yang banyak disebut…

  • Mengungkit, Sakiti Hati Penerima Rosakkan Pahala Sedekah

    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 264) Al-Quran mengemukakan contoh infak…

  • Usah Lalai, Hanyut Kemewahan Dunia

    Sesungguhnya orang beriman diibaratkan seperti satu jasad. Setiap anggota saling bantu membantu antara satu sama lain. Mereka saling berkongsi kegembiraan sesama tetangga dan menghulurkan bantuan jika ada dalam kalangan mereka yang ditimpa musibah atau kesusahan. Inilah antara sifat orang beriman yang perlu dijalinkan untuk membentuk kekuatan menjana perubahan. Hasilnya, lahirlah masyarakat harmoni yang berkasih sayang…

  • Isu ‘Sedekah Subuh’

    1- Benarkah bersedekah pada waktu subuh mempunyai kelebihan khusus berbanding bersedekah pada waktu-waktu yang lain ? 2- Dalil yang mungkin menjadi sandaran bagi kenyataan ini ialah sebuah hadis, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا Maksudnya…