Isu ‘Sedekah Subuh’

1- Benarkah bersedekah pada waktu subuh mempunyai kelebihan khusus berbanding bersedekah pada waktu-waktu yang lain ?

2- Dalil yang mungkin menjadi sandaran bagi kenyataan ini ialah sebuah hadis, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya : Tidak ada hari yang mana para hamba itu berpagian padanya melainkan terdapat dua malaikat yang turun, lalu salah satu dari mereka berkata : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang melakukan infaq (sedekah)”. Manakala malaikat yang satu lagi berkata : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (dari sedekah)”.

Riwayat Al-Bukhari (1442), Muslim (1010)

3- Justeru, seolah hadis ini beri gambaran kepada sedekah subuh.

4- Setelah diteliti, sebenarnya tidak terdapat sebarang petunjuk yang jelas yang mengkhususkan perbuatan bersedekah di situ dilakukan pada waktu subuh.

5- Bahkan, yang jelas adalah dua malaikat itu turun pada waktu subuh, dan salah satunya mendoakan gantian yang baik dari Allah kepada orang yang bersedekah.

6- Ini sebenarnya meliputi orang yang bersedekah pada bila-bila masa, baik subuh, petang, atau malam. Doa ini tidak terkhusus kepada mereka yang melakukan sedekah pada waktu subuh sahaja.

7- Ini juga dapat difahami, dengan melihat kepada doa yang berikutnya. Apakah mereka yang menahan hartanya dari sedekah pada waktu subuh sahaja yang termasuk dalam doa malaikat agar Allah binasakan hartanya ? Atau mereka yang menahan hartanya pada waktu-waktu yang lain turut termasuk dalam doa tersebut.

8- Ini menunjukkan bahawa kedekut dan bakhil dengan harta tidak dianggap mempunyai keburukan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain.

9- Sama keadaannya bersedekah dengan harta tidak dianggap mempunyai keutamaan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain.

10- Bahkan sebenarnya dalam sebahagian riwayat, Rasulullah S.A.W bukan sekadar menyebutkan dua malaikat itu turun pada waktu subuh. Bahkan juga turut turun pada waktu maghrib.

11- Berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :

وَلَا غَرَبَتْ إِلَّا بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: Dan tidak terbenam matahari melainkan pada dua sudutnya terdapat dua malaikat yang menyeru : Ya Allah, berikanlah gantian kepada orang yang menginfaqkan (hartanya). Dan berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut dan bakhil).

Riwayat Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban (3329)

12- Maka ini tidak mendatangkan satu istilah baharu iaitu ‘Sedekah Maghrib’.

13- Kesimpulan, bersedekah itu merupakan suatu kebaikan yang besar. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Baik subuh, petang, mahupun malam. Tidak ada waktu yang mengatasi fadilat waktu yang lain dari sudut ini.

14- Adapun dari sudut bersedekah di dalam bulan Ramadan, atau dalam bulan-bulan haram, atau di dua tanah haram, maka di sini berbeza keadaannya kerana telah sabit nas akan ganjaran beramal soleh menjadi lebih besar apabila dilakukan padanya.

والله الموفق

Kredit : Ust Fahmi Rusli

Similar Posts