Bersedekah Untuk Orang Yang Telah Meninggal
Soalan:
Bolehkah kita mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia?
Jawapan:
Shikh al-Sha’rawi berpendapat, perbuatan mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia tidak dibenarkan kerana mereka yang telah meninggal dunia tidak akan mendapat manfaat daripada perbuatan itu apatah lagi ia dilakukan oleh orang lain.
Sedekah perlu dilakukan ketika hidup bukannya setelah kematian. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW setelah ditanya mengenai sedekah yang terbaik.
Baginda bersabda: “Sesungguhnya sedekah yang terbaik adalah sedekah yang diberikan ketika kamu sihat dan ketika itu kamu sangat takut kefakiran serta mengharapkan kekayaan.”
Hadis ini menjelaskan orang yang kedekut apabila dia mengeluarkan sedekah akan mendapat pahala yang berganda kerana berjaya menyahut sunah Nabi SAW supaya mengeluarkan harta yang disayangi untuk Islam.
Kedua, dia berjaya melawan hawa nafsunya yang menyuruh kepada bakhil, namun nafsu jahat itu berjaya ditinggalkan sehingga dia berjaya mengeluarkan hartanya untuk Islam atas nama sedekah, zakat, wakaf dan sebagainya.
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya bersedekah untuk diri sendiri sebagai persediaan saat kematian. Perkara ini disarankan oleh Baginda SAW dalam sabdanya: “Jika matinya anak Adam maka akan terputus semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah yang pernah dilakukan ketika hayatnya, ilmu yang dimanfaatkan atau anak-anak soleh yang mendoakannya”.
Sumber: Berita Harian