Mengungkit, Sakiti Hati Penerima Rosakkan Pahala Sedekah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Al-Quran mengemukakan contoh infak yang dimusnahkan oleh unsur perosak yang menghapuskan pahala, iaitu mengungkit-ungkit dan menyakiti hati penerima. Seruan itu ditujukan kepada orang beriman supaya tidak memusnahkan pahala sedekahnya dengan menyebut dan menyakitkan hati penerima.

Tujuan sedekah asalnya untuk meringankan derita orang yang serba kekurangan dan mengubat perasaan sedih orang fakir. Sedekah yang disusuli dengan ungkitan dan tindakan melukakan perasaan penerima samalah dengan sedekah yang diberi oleh orang munafik yang berpura-pura Islam.

Mereka bersedekah tetapi tidak bersandarkan kepada keimanan dan keredaan Allah SWT sebaliknya bermatlamatkan keduniaan seperti mencari nama, pangkat dan kedudukan. Orang itu mungkin memperoleh apa yang diingini menerusi sedekahnya, namun tidak akan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Berapa ramai orang yang suka benyebut kebaikan dibuatnya kerana ingin dipuji dan membanggakan diri. Perbuatan itu boleh menimbulkan sikap ungkit-mengungkit yang menyakiti perasaan, lebih-lebih lagi apabila orang yang bersedekah merasa penerima tidak berterima kasih atau menganggap kecil sedekah itu.

Ia menyebabkan pihak yang memberi berasa hati tetapi tindakan itu seolah-olah mereka memberi kerana hendak menunjuk-nunjuk. Andai benar, adalah malang sekali kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada perbuatan baik itu di dunia mahupun akhirat.

Di dunia, orang yang suka mengungkit-ungkit dan menyakiti perasaan penerima derma akan menjadi sasaran kebencian dan di akhirat nanti kedudukan mereka sama tarafnya dengan orang yang riak disebabkan tidak ikhlas.

Hati tak disinari cahaya keimanan

Allah SWT hanya memberikan pahala kepada orang ikhlas yang beramal semata-mata mahu menyucikan hati dan memperbaiki akhlaknya.

Menurutnya Iman Al-Razi, mengungkit-ungkit itu mengakibatkan empat gejala negatif iaitu menyebabkan hati penerima hancur serta menjatuhkan air muka mereka, selain mengakibatkan orang miskin tidak suka menerima sumbangan.

Tindakan pihak yang menyumbang mengungkit infak menunjukkan seolah-olah harta itu milik mutlak mereka hakikatnya, harta adalah nikmat serta anugerah daripada Allah SWT kepadanya.

Pemberi rezeki yang sebenar ialah Allah SWT tetapi jika mereka berasakan harta dimiliki adalah atas usaha serta ikhtiarnya sendiri, hati mereka tidak disinari cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak masuk syurga pengungkit pemberian, penderhaka kepada ibu bapa dan penagih arak.” (Riwayat an-Nasa’i)

Allah SWT tidak akan memberi petunjuk ke jalan yang baik kepada mereka kerana hanya iman yang menjadi titian seorang untuk berbuat ikhlas dan menderma hartanya. Justeru, hendaklah berhati-hati supaya infak tidak menjadi sia-sia.

Riak adalah perangai orang kafir yang perlu dijauhi khususnya apabila kita memberi sumbangan atau membantu mereka yang memerlukan. Sebaliknya, pastikan diri bersih daripada unsur yang boleh mencacatkan amalan sedekah.

Infak hendaklah dikeluarkan dengan niat hati yang suci, bersih dan tidak mengharapkan apa-apa selain keredaan Allah SWT. Iman kepada Allah SWT dan hari akhirat adalah prasyarat bagi menjayakan sesuatu projek yang bermatlamatkan hari akhirat.

Iman, hari akhirat

Iman kepada Allah SWT penting bagi mengawal setiap tindakan kita supaya tidak tersasar daripada tuntutan syariat kerana setiap amalan baik akan merugikan andai niat serta susulan daripadanya bertentangan dengan matlamat sesuatu itu diperintahkan.

Sumbangan yang sepatutnya bertujuan membantu mereka yang memerlukan bertukar kepada tindakan menyakitkan hati apabila diungkit dan amalan sepatutnya ikhlas untuk mendapat keredaan Allah SWT dijadikan landasan mendapat keuntungan atau pujian.

Niat yang ikhlas besar berkatnya jika dapat difahami sabda Baginda SAW: “Ikhlaslah terhadap agamamu, cukup bagimu amalan yang sedikit.” (Riwayat al-Hakim).

Apalah ertinya sedekah yang bertimbun banyaknya tanpa niat ikhlas kerana keredaan Allah SWT berdasarkan niat suci seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Sumber: Berita Harian

Similar Posts

  • Bersedekah Untuk Orang Yang Telah Meninggal

    Soalan: Bolehkah kita mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia? Jawapan: Shikh al-Sha’rawi berpendapat, perbuatan mengeluarkan sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia tidak dibenarkan kerana mereka yang telah meninggal dunia tidak akan mendapat manfaat daripada perbuatan itu apatah lagi ia dilakukan oleh orang lain. Sedekah perlu dilakukan ketika hidup bukannya setelah kematian. Ini…

  • Sedekah Tidak Sucikan Harta Daripada Sumber Haram

    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang…

  • Usah Lalai, Hanyut Kemewahan Dunia

    Sesungguhnya orang beriman diibaratkan seperti satu jasad. Setiap anggota saling bantu membantu antara satu sama lain. Mereka saling berkongsi kegembiraan sesama tetangga dan menghulurkan bantuan jika ada dalam kalangan mereka yang ditimpa musibah atau kesusahan. Inilah antara sifat orang beriman yang perlu dijalinkan untuk membentuk kekuatan menjana perubahan. Hasilnya, lahirlah masyarakat harmoni yang berkasih sayang…

  • Isu ‘Sedekah Subuh’

    1- Benarkah bersedekah pada waktu subuh mempunyai kelebihan khusus berbanding bersedekah pada waktu-waktu yang lain ? 2- Dalil yang mungkin menjadi sandaran bagi kenyataan ini ialah sebuah hadis, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا Maksudnya…

  • Pelaburan Dunia Usah Sampai Lupa Akhirat

    Kebanyakan orang sedar pentingnya pelaburan. Pelaburan dalam pelbagai bentuk seperti saham, hartanah atau wang ringgit sejak muda adalah impian setiap orang agar kehidupan hari tua agak senang dan kukuh dari aspek kewangan. Tidak hairan jika kini orang berlumba-lumba menambah pelbagai bentuk harta khususnya hartanah dan saham sebagai cagaran untuk masa depan. Secara umum, teori pengumpulan…